NCIA sedang teliti cadangan KXP

News: NCIA sedang teliti cadangan KXP

GEORGETOWN: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kini sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa cadangan membangunkan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kulim, Kedah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata KXP yang akan dibina sebagai lapangan terbang kargo itu adalah keperluan bagi jangka masa panjang yang bakal memberi kesan positif kepada negara dan wilayah utara secara keseluruhannya.

“Kita sedang teliti setiap cadangan KXP melalui NCIA, dan selepas itu ia akan diserahkan kepada kementerian berkaitan untuk dipertimbangkan.

“Sekarang ini banyak kegiatan ekonomi di selatan Thailand adalah melalui Pulau Pinang, dan sudah tentu pada masa akan datang kapasitinya meningkat, sekali gus memerlukan pelabuhan dan lapangan terbang dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pembeli Projek Perumahan Pangsapuri Casa Anggun oleh pemaju JKP Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mac lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan meluluskan tujuh projek dan program impak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP akan memberi kesan negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan negeri secara amnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata beliau mengambil maklum kegusaran kerajaan negeri terhadap pelaksanaan KXP, yang dikatakan akan dibina dalam jarak kurang 40 kilometer (km) dari Pulau Pinang.

“Mereka (kerajaan negeri) bukan bantah tetapi mereka berikan pandangan dan ia sudah pun dibincangkan. Projek KXP ini akan saling melengkapi.

“Pulau Pinang ada kekuatannya, tapi kita sedia maklum LTAPP sudah sampai tahap kapasiti maksimum untuk lakukan pembesaran.

“Jadi, dengan adanya KXP, ia boleh mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kebaikan kepada semua negeri di wilayah utara,” katanya.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) beramah mesra dengan penerima kunci rumah di majlis penyerahan kunci Casa Anggun, Sungai Nibong. - Foto Ramdzan Masiam

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/08/592101/ncia-sedang-teliti-cadangan-kxp