Peruntukan RM30 juta untuk Kasih Ibu Darul Aman – EXCO

News: Peruntukan RM30 juta untuk Kasih Ibu Darul Aman - EXCO

ALOR SETAR, 16 April (Bernama) -- Sebanyak RM30 juta diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pelaksanaan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), iaitu bantuan kewangan khusus untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan wanita di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata program yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu akan dilancarkan pada 20 Mei ini.

"Objektif utama KIDA adalah untuk menampung kos hidup melalui bantuan kewangan untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.

“Setiap penerima yang layak akan diberi RM250 sebulan untuk pembelian barang keperluan asas dan RM500 setahun untuk rawatan kesihatan sekeluarga,” katanya ketika mengumumkan jumlah bantuan itu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Keempat Penggal Pertama DUN Ke-14 di sini, hari ini.

Katanya menerusi KIDA, sistem kad pintar tanpa tunai akan digunakan dan pembelian hanya boleh dibuat di kedai-kedai runcit serta klinik swasta yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Halimaton Shaadiah berkata, sebanyak 15 barangan keperluan asas yang diluluskan untuk pembelian menerusi KIDA antaranya beras, roti, telur, biskut, tepung, minyak masak, sayur-sayuran, lampin pakai buang dan barangan persekolahan.

Beliau berkata sehingga 31 Mac lepas, seramai 5,059 penerima yang berada di dalam Sistem e-Kasih bakal mendapat manfaat itu dan daerah Sik mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 1,259 orang, diikuti Kota Setar (811) dan Baling (653).

"Nama penerima perlu ada dalam data e-Kasih, warganegara Malaysia, penduduk tetap lima tahun ke atas, pengundi Kedah, ibu tunggal atau berkahwin yang mempunyai anak berusia 21 tahun ke bawah yang masih ditanggung.

“Ibu, nenek atau anak perempuan yang menjadi ketua keluarga juga diambil kira dan kita berharap KIDA mampu membantu meningkatkan daya membeli, meningkatkan taraf hidup sekaligus membasmi kemiskinan," katanya.

Sementara itu, semasa menjawab soalan Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) yang ingin tahu mengenai peruntukan tambahan Tabung Khas Wanita, beliau memberitahu tabung itu kini mempunyai peruntukan sebanyak RM1 juta.

"Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk tabung ini tetapi peruntukan tambahan diberikan bagi memastikan pemohon yang layak menerima bantuan, setakat ini ada 32,000 pemohon,” katanya.

Bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bagi setiap pemohon secara sekali sahaja itu, khusus untuk wanita yang kurang berkemampuan atau dilanda musibah, kesempitan hidup sebagai ketua keluarga atau mahu memajukan perniagaan kecil bagi meningkatkan taraf ekonomi.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1716885